“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat.
Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Kelebihan Amalan Solat Sunat Dhuha dan Surah Al-Waqiah:
- Dimurahkan rezeki
- Tidak akan miskin selamanya
- Diampunkan dosa biarpun banyak seperti buih di lautan
- Di akhirat kelak akan diseru oleh malaikat untuk mereka yang solat Dhuha
- Di khususkan untuk mereka sebuah pintu yang bernama ‘Dhuha’ (Maksud hadis Rasullah s.a.w – Riwayat At-Tabrani)
*Bonus*
Tidak lupa juga tentang kelebihan surah Al-Waqiah. Surah yang mengandungi 96 ayat dan diturunkan di Mekah.
Sehingga surah ini menjadi wasiat kepada anak-anak Sayidina ibnu Mas’ud ketika beliau hampir meninggal dunia supaya membaca surah ini.
Inilah khazanah ilmu yang harus digali dan dikaji mengapa hukum syarak menyuruh kita melaksanakan amalan sunat yang dua ini.
Kedua-dua amalan ini tersedia dalam kitab panduan Al-Quran. Tidak perlu bayaran untuk mendapatkannya.