Kecewa Sebab Gagal Buat Duit Di Internet? Dapatkan 5 Penawar Disini!
Tidak semua jalan-jalan dan liku yang di lalui oleh seorang usahawan internet itu mudah. Jika anda tanya kepada ramai usahawan internet yang berjaya, pasti mereka akan ceritakan satu per satu kesusahan mereka alami bermula dari tiada modal sehinggalah menghadapi kerugian mencecah ribuan ringgit.
Jika anda berada dalam situasi terumbang-ambing dengan pendapatan bisnes online anda, sekejap naik sekejap turun, sekejap ada sekejap tiada, atau mungkin apabila anda melakukan perkara yang sudah anda belajar namun masih belum bertemu dengan kejayaan, bersabarlah dan percayalah rezeki anda tetap ada dalam genggaman yang Maha Esa.
Untuk berdepan dengan situasi ini, artikel ini saya tulis buat anda yang sedang mengalami keresahan dek kerana bisnes online anda seolah-olah sedang “meragam”.
Tips 1 : Kembali kepada tali Allah
Ya. Bilamana kita bercakap soal rezeki, maka selayaknya kita bercakap tentang yang Maha Memberi Rezeki. Jika kita sudah menjalani usaha kita sebagai manusia iaitu mencari ilmu, action dan terus berusaha dan berusaha, namun hujungnya tetap juga setiap perancangan itu di bawah kuasa Allah s.w.t.
Bilamana anda sedang bersedih kerana usaha yang anda lakukan kurang berhasil atau hampir tiada langsung, banyakkanlah beristighfar kepada Allah dan banyakkan berdoa kepada-Nya. Ketika anda melalui situasi ini, tiada siapa yang faham perasaan anda sebagai seorang usahawan bukan?
Jika anda berceritakan hal dan masalah bisnes online anda kepada keluarga dan sahabat, ada kemungkinan mereka akan cakap, “Kalau susah-susah sangat, berhenti jelah buat bisnes internet, cari kerja makan gaji lagi bagus!”. Anda bukan sahaja di kritik, malah impian anda untuk bergelar usahawan internet sukses juga di “tanam” hidup-hidup begitu sahaja.
Oleh itu, tenangkan hati anda untuk seketika dengan banyak ingat Allah, banyak baca al-maathurat, al-quran serta zikrullah. InsyaAllah setelah anda bertenang, anda bolehlah melakukan hal yang kedua.
Tips 2 : Salin semua perkara yang anda sudah buat
Apa kerja dan strategi yang anda sudah lakukan sebelum ini? Senaraikan dan lihat apa yang menjadi dan apa yang tidak. Jika anda lihat ada strategi yang mungkin boleh di kembangkan dengan lebih baik, fokuskan kepada strategi tersebut.
Jika ia memberi banyak kerugian maka buang ia ketepi. Dalam situasi begini, anda perlu berfikir secara realistik dan melihat apa yang OK dan apa yang TIDAK. Oleh kerana itu anda perlu bertenang terlebih dahulu sebelum merangka strategi baru.
Tips 3 : Belajar ilmu baru
Ada kemungkinan strategi yang kita lakukan tidak kena dengan bisnes yang kita jalankan. Jika si A buat duit dengan cara XX, dan apabila kita juga menggunakan cara yang sama, ada kemungkinan ia tidak sesuai dengan kita.
Bertabahlah dan terus usaha untuk mencari lubang yang baru. Ada waktunya kita tidak tahu betapa hampirnya kita dengan kejayaan namun Allah itu Maha Mengetahui. Oleh itu, tetap berusaha walau apa jua sekalipun.
Jika perlu,carilah pakar-pakar dalam bahagian tertentu untuk anda belajar dari mereka tentang strategi yang lebih baik untuk bisnes online anda.
Tips 4 : Bergaul dengan orang sama bidang
Seperti yang saya katakana di atas, jika anda salah memilih orang untuk meluahkan perasaan, maka anda seolah-olah menambahkan lagi luka yang berdarah di dada. Ia amat menyakitkan bilamana anda melalui langkah-langkah yang berat, namun mereka yang dekat di sisi seolah-olah tidak pernah melihat duka yang anda tanggung di jiwa.
Oleh itu, pilihlah rakan yang sama dalam bidang perniagaan. Jika ada mana-mana usahawan yang sedang online dan boleh untuk anda dapatkan tips, maka mesejlah mereka, bertanya khabar dan kemudian mintalah serba sedikit nasihat dari mereka. Kebanyakan usahawan internet yang sukses sangat suka memberi nasihat. Jadi usah malu-malu untuk bertegur sapa dengan usahawan-usahawan lain.
Tips 5 : Sabar, dan beri waktu
Sabar adalah ucapan yang mudah di ungkap namun sukar untuk di tanggung dalam hati anak Adam bilamana kita di hamparkan dengan dugaan. Memang benar. Namun ingatlah bahawa Allah selalu ada bersama-sama dengan orang yang sabar dan Dia hanya mengizinkan sesuatu dugaan itu berlaku sesuai dengan kemampuan kita untuk menanggungnya.
Maksudnya apa? Maksudnya, Allah sendiri positif dan yakin kita boleh lalui ujian tersebut, sebab itu kita melalui ujian itu. Yakinlah diri kita mampu untuk lalui ujian yang sedang kita alami hari ini.
Cuba bayangkan dan berfikir positif bahawa Allah sememangnya mahu memberi kejayaan tersebut kepada bisnes online kita, namun Dia mahu lihat sejauh mana kesabaran kita. Sepertimana adanya siang, ia akan berganti malam. Dugaan juga begitu.
Dia ibarat tetamu yang datang ke rumah, hari ini dia datang menyapa, kelak dia pasti akan pergi dan beransur-ansur hilang dan kemudian semua dugaan itu akan di gantikan dengan kemudahan, kejayaan dan kebahagiaan oleh Allah s,w.t. Percayalah !
Penutup:
Ingat sekali lagi, kita di uji sesuai dengan kemampuan kita. Ya, walaupun langkah kita seolah-olah bertemu dengan dinding kiri dan kanan tanpa ada jalan keluar, di situ sentiasa ada Allah s.w.t yang menunggu kita, yang menghamparkan kasih-sayangnya untuk membantu kita.
Sedih, kecewa atau menangis kerana masih belum berjaya itu normal, kerana kita manusia biasa. Namun usah terlalu sedih seolah-olah merasakan kita ini tidak layak sukses seperti usahawan internet yang lain. Akan ada suatu masa nanti, bilamana pintu rezeki buat kita dalam bisnes ini terbuka luas untuk kita, maka ia tidak akan tertukar dengan orang lain. Bersabarlah untuk menunggu detik kejayaan itu.
“La Tahzan,InallahaMaana!”
~ Usah bersedih, sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa berada bersama-sama dengan kita.